RAMADHAN DUKA KAMI

3:36:00 PM

RAMADHAN 1999 - RAMADHAN DUKA KAMI …
“ Beku kah sekerap ni, ayah ?”, soal saya kepada kepada ayah .
“Adalah sikit-sikit tu”, jawab ayah dalam lelah, selepas sejam perjalanan kami berulang-alik dari Baling ke Teloi Kanan.
Memang sebulan puasa ini kami berulang-alik.
Adik saya, Amirah yang sakit kami tempatkan di Baling, rumah datuk.
“Dekat sikit nak berulang ke hospital”, kata ayah.
Nur amirah adik saya, adik yang paling saya sayang ! walaupun kami suka bergaduh.
Adik saya ini disahkan menghidap barah hati, selepas 2 tahun sakit, dan bulan puasa ini, dia agak tenat.
“ Malam tadi hujan, kalau sekerap beku pun, mungkin setengah”, ayah bersiap-siap memulakan kerja memungut sekerap, selepas dua hari menoreh.
“ Kelmarin Adik Mi kata tahun ni dia nak pakai dua pasang baju raya, tak padan dengan sakit”, ayah tersengih sendiri, mengubat hatinya yang walang.
“Dah, pergi kutip sebelah sana, ayah kutip sebelah sini”, perintah ayah.
Saya turutkan arahan ayah, sambil merenung dalam mata ayah.
Saya faham apa yang ayah sedang hadapi, rasa yang jauh di pojok hatinya juga saya faham.
Di dalam mangkuk getah, air hujan yang banyak, getah sekerap yang sejemput terapung-apung.
Sikit sangat !
Sesekali saya perhatikan ayah duduk di perdu pokok getah.
Ayah Menangis !
“ kesian ayah.. kecewa dia ”, saya telan rasa itu dalam-dalam bersama doa agar semoga semuanya dipermudahkan..
- 21 Ramadhan 1999 - Allahyarhamah Nur Amirah meninggalkan kami semua dalam usianya 15 tahun. …
AL-FATIHAH BUAT ALMARHUM AYAH , JUGA ALMARHUMAH ADIKKU… berehatlah dalam Rahmat Allah .. kalian sudah banyak hadapi dugaan..

Sahabat Mungkin Juga Suka

0 comments