PELAJARAN TERAKHIRNYA : "MEMANJAT POKOK DOKONG"

10:28:00 AM


Takkan saya lupakan petang itu tentang didikan arwah Tokwan (datuk saya, bukan 'tokwan' bunga). Saya disuruh memanjat sebatang pokok dokong !


Memang tahun itu buah dokong di kampung kami cukup menjadi. Boleh dikatakan semua pokok berbuah.

Tercapai hajat Tokwan, nak tengok anak cucu dapat menikmati hasil titik peluhnya berbakti kepada tanah. Sebahagian lagi dijual, dan hasilnya lumayan !... dapat Tokwan buat sedikit kenduri, meraikan rezeki daripada Allah itu.

" Baca ni", perintah Tokwan sambil mengajar saya beberapa potong ayat suci sebelum memanjat.

" Pokok dokong ni manja, hati-hati. Walaupun sudah berbuah, dalam masa yang sama masih ada putik bunga", terang tokwan.

" Potong tangkai buah, jangan sampai habis, tinggalkan sedikit. Hujung tangkai tu ada juga putik-putik baharu tumbuh ", pesan tokwan lagi.

"Tengok tu, ada dahan yang tumbuh menegak tu. Itu dahan air. Buang sebelum dia membesar. Nanti pokok terbantut, susah berbuah ", terngiang-ngiang pesan itu dalam kepala saya.

Sebelum pulang semula ke rumah, tokwan berpesan lagi, "Tak rugi banyak menanam ni". 

Begitulah, keberuntungan kalau berbakti kepada tanah. mungkin itu maksud Tokwan.

Petang itu petang terakhir saya bersama Tok dan Tokwan. Keduanya pergi meninggalkan kami semua dalam kemalangan jalan raya petang itu juga, sewaktu dalam perjalanan melawat cicitnya yang baru lahir.

Al-Fatihah ...

- Hj Abd Ghani Md Daud & Hajah Che' Som Tahir dalam kenangan

Sahabat Mungkin Juga Suka

0 comments